Friday, September 3, 2010

CONTOH PENULISAN KARANGAN: SIFAT TEKUN RAHSIA KEJAYAAN WANITA

CONTOH PENULISAN KARANGAN: SIFAT TEKUN RAHSIA KEJAYAAN WANITA




















Karya: Nur Hidayu (T5)



Bertemakan “Mengakhiri Keganasan Terhadap Wanita”, Hari Wanita Sedunia telah disambut pada Mac 2008 dengan penuh bermakna sekali bagi semua kaum hawa tidak kira bangsa, agama, keturunan atau negara.

Sempena dengan hari wanita sedunia ini juga saya ingin mengucapkan tahniah kepada beberapa tokoh dan personaliti yang telah memartabatkan dan menaikkan lagi nama wanita ke persada dunia.

Pada peringkat antarabangsa, seorang bekas penuntut Maktab Sultan Abu Bakar Johor telah melakar namanya sebagai wanita Muslim pertama Asia yang berjaya menjejaki Kutub Utara dan Kutub Selatan, individu cemerlang ini adalah tidak lain dan tidak bukan, Datin Paduka Sharifah Mazlina.

Nicol Ann David pula telah mencipta kemenangan demi kemenangan sehingga beliau kini bergelar Ratu Skuasy nombor satu dunia sekaligus meletakkan Malaysia di tempat tertinggi dunia dalam acara sukan ini.

Wanita juga mampu dan berani mengalas tanggungjawab mentadbir dan mengurus sumber manusia dalam bidang aeronautik seperti yang telah berjaya di buktikan oleh Datuk Dr. Mazlan Ahmad. Beliau telah berjaya merangka arah tuju Program-Angkasa pertama negara sehingga telah berjaya menghasilkan angkasawan negara yang pertama. Sehingga ke hari ini Datuk Dr.Mazlan adalah Timbalan Setiausaha Agung untuk Biro Kajian Angkasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York Amerika Syarikat. Saya kirakan ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan dan patut diberi perhatian.

Dalam bidang keusahawanan, pengasas produk Sendayu Tinggi Rozita Ibrahim mencatat nama harum bukan saja pada peringkat negara malah melangkaui ke negara luar. Beliau bermula dengan penuh semangat, bangun dan bangkit daripada kegagalan hidupnya dan akhirnya berjaya membuktikan pada dunia bahawa wanita juga mampu berdikari dengan jayanya. Hasilnya sekarang, beliau adalah usahawan berjaya dengan status sebagai jutawan dalam bidang perniagaan.

Apabila kita menyuap sesuap nasi, besar kemungkinannya kita sedang menjamah hasil kebijaksanaan dan ketekunan seorang srikandi yang bernama Hajjah Faiza Bayumi Syed Ahmad, pengasas dan pemilik Syarikat Faiza yang merupakan pembekal beras terkemuka negara. Beliau yang memulakan perniagaan ini sekitar 40 tahun dahulu cuma dengan berbekalkan sedikit modal berserta segunung harapan dan segenggam ketekunan.

Dalam bidang kecemerlangan pendidikan pula, kita dapat melihat siri pencapaian dalam kalangan penuntut-penuntut wanita yang begitu tekun menuntut ilmu di semua peringkat pengajian. Pada 2005 negara digegarkan dengan kejayaan Nur Amalina Che Bakri dari Sekolah Menengah Ulu Tiram, Johor Bahru yang mendapat 17 1A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Nur Amalina yang kini sedang melanjutkan pelajaran di Cheltenham Ladies College, United Kingdom telah sekali lagi membuktikan kebolehannya apabila berjaya mendapat 15 A dalam semua mata pelajaran peringkat “A Level” yang diambilnya.

Semua ini adalah antara kecemerlangan yang bakal menggorak langkah gelombang kebangkitan wanita di persada negara dan peringkat antarabangsa. Bahkan bakal menjadi sejarah negara dengan bukti kukuh bahawa wanita sememangnya dianugerahi dengan sifat penuh kebijaksanaan dan ketekunan.