Friday, September 3, 2010

RENCANA I - Remaja dan Budi Bahasa

RENCANA I - Remaja dan Budi Bahasa

REMAJA dan BUDI BAHASA
Chai Loon Guan.

Pepatah pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara jelas memberikan gambaran betapa golongan remaja merupakan khazanah sumber manusia yang cukup penting kepada pembangunan, kemajuan dan masa depan bangsa dan negara. Menurut bausastera Dewan, remaja bermaksud golongan yang mulai dewasa, sudah akil baligh dan bersinonim dengan frasa, yakni remaja puteri atau remaja putera. Jelaslah bahawa masa depan dan maju mundurnya negara bangsa banyak bergantung harap kepada modal insan dalam kalangan remaja kerana di pundak merekalah bakal dipikul tanggungjawab berat, iltizam dan amanah untuk memajukan bangsa dan negara sekali gus merealisasikan wawasan perdana – Wawasan 2020!

Namun begitu perkembangan semasa dan kelangsungan pelbagai isu yang sering dipaparkan oleh media massa, khususnya media cetak dan media elektronik belakangan ini jelas telah banyak menimbulkan kegelisahan dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini. Berita tentang golongan remaja bertindak liar di luar batas-batas kesopanan dan kesusilaan, bergentayangan dan hidup bergelumang dengan aktiviti jenayah dan kegiatan-kegiatan yang tidak berakhlak cukup mengejutkan ibu bapa, masyarakat umum dan kerajaan. Oleh sebab itu, kita perlu mengenal pasti sebab-musabab atau punca akar masalah yang semakin menular dalam jagat kehidupan masyarakat majmuk Malaysia, khususnya rempah ratus dan dunia kehidupan golongan remaja kita dewasa ini.

Barangkali ada benarnya, kesibukan ibu bapa dalam mencari rezeki hidup dan memburu dunia kebendaan saban hari sehingga mereka yang sering terbelenggu dek tekanan hidup terlepas pandang akan kepentingan kasih sayang dan kebajikan anak-anak merupakan antara punca berlakunya kepincangan dan kebobrokan akhlak remaja kita pada hari ini. Selain itu, kekurangan didikan moral dan agama, sistem pendidikan dan institusi masyarakat yang terlalu mengutamakan atau mengagung-agungkan kejayaan dan kecemerlangan akademik semata-mata tanpa memberikan perhatian yang seimbang kepada perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI) anak-anak remaja turut merancakkan keberleluasaan gejala sosial dalam kehidupan kita sehari-hari.

Justeru, penerapan salah satu nilai murni kehidupan, yakni nilai budi bahasa dianggap amat penting dalam usaha kita untuk melahirkan modal insan yang sempurna akhlaknya dan mempunyai kekuatan jati diri peribadi serta perilaku mulia dan terpuji sekali gus sebagai asas budaya hidup remaja khasnya dan masyarakat majmuk Malaysia amnya. Tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat di negara ini, terutamanya masyarakat Melayu pada asasnya sememang kaya akan amalan berbudi bahasa dan kesantunan bahasa. Antaranya termasuklah yang muda menghormati yang tua, anak murid menghormati guru, yang kaya menolong yang miskin, dan sebagainya.

Amalan yang diperturunkan sejak zaman-berzaman ini adalah selaras dengan peribahasa yang berbunyi "melentur buluh biarlah daripada rebungnya" . Hal ini bermakna bahawa amalan ini perlu dipupuk sejak kecil lagi. Terbitnya pandangan bahawa amalan berbudi bahasa perlu dipupuk sejak bangku sekolah lagi tercetus daripada fenomena lunturnya amalan ini dalam kalangan generasi remaja dan muda-mudi pada era globalisasi ini.

Umumnya, masyarakat hari ini lebih menekankan aspek kebendaan atau materialisme. Hal ini sekali gus meminggirkan nilai-nilai moral seperti berbudi bahasa, hormat-menghormati, bertolak ansur dan sebagainya. Justeru terbitlah keperluan untuk menerapkan nilai-nilai ini dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan remaja. Ibu bapa dan guru-guru haruslah berganding bahu dengan masyarakat untuk sama-sama memainkan peranan yang penting dalam membentuk peribadi anak-anak remaja yang boleh kita ibaratkan seperti sehelai kain putih yang mudah menerima dan seterusnya mengamalkan nilai-nilai budi bahasa yang terpuji. Generasi remaja perlu digalakkan untuk mengamalkan dan menerapkan budi bahasa dan nilai-nilai murni sama ada dalam aspek komunikasi, ucapan, pertuturan atau panggilan atau dalam perlakuan dan pergaulan dalam institusi kekeluargaan, institusi kemasyarakatan, institusi pembelajaran dan institusi perkhidmatan.

Dalam institusi kekeluargaan misalnya, remaja perlu dididik dan dibimbing agar membiasakan diri dengan bertutur dengan baik dan betul serta mempunyai kelakuan yang terpuji. Hubungan antara adik-beradik disusun oleh aturan kelahiran, yakni daripada yang sulung kepada yang tengah dan yang bongsu. Yang muda mestilah menghormati kakak dan abang dengan memanggil secara baik gelaran atau pangkat yang lazimnya dalam masyarakat. Begitu juga hubungan darah dan perkahwinan dengan saudara mara sebelah ibu dan bapa, mertua dan ipar dan sebagainya hendaklah berasaskan rasa hormat, sopan dan santun melalui tegur sapa dan panggilan pangkat mereka.

Sementara itu, dalam institusi kemasyarakatan pula, remaja perlu memahami hubungan antara yang tua dengan yang muda, yakni sentiasa berada dalam suasana hormat-menghormati, sayang-menyayangi dan bertatasusila. Dalam kehidupan bermasyarakat, lebih-lebih lagi dalam konteks masyarakat majmuk dan berbilang ras dan agama di negara kita, golongan remaja perlu senantiasa menggunakan tutur kata yang sopan, mempunyai fiil yang halus dan berpekerti yang mulia. Antaranya, remaja haruslah senantiasa mengutamakan nilai-nilai bekerjasama, semangat gotong-royong dan menghormati orang lain. Sesungguhnya, sebagai anggota masyarakat yang berbudi, remaja perlu menunjukkan perangai, kelakuan serta peribadi yang baik seperti bersabar, bertimbang rasa dan sentiasa tahu menjaga diri daripada pelbagai macam kelakuan buruk yang tidak dipersetujui oleh masyarakat.

Remaja juga perlu senantiasa berbudi bahasa dan berkelakuan baik, teratur dan sejahtera dalam institusi pembelajaran. Sebagai warga ilmu, mereka perlu berdisiplin, bertegur sapa dengan hormat, berbahasa sopan, bersedia memohon maaf, mentaati peraturan sekolah dan menjaga kebersihan dan kesihatan bak kata pepatah "minda yang cerdas berada pada badan yang cergas". Remaja pelajar juga perlu saling menghormati sesama rakan, membiasakan diri mengucapkan salam atau ucap selamat, menghargai perbezaan agama, menghargai idea, buah fikiran dan pendapat rakan sebaya dan bantu-membantu ibarat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Sikap positif sedemikian bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim bahkan juga dapat menyemaikan bebenih perpaduan dan muhibah dalam kalangan masyarakat yang berbilang ras dan agama di negara ini.

Sebagai generasi pelapis dan bakal menjadi umarak bangsa dan negara pada masa depan, remaja pada hari ini perlu juga didedahkan dengan nilai-nilai kepemimpinan dan kepimpinan yang baik dan berbudi di samping mengutamakan kemesraan dan semangat kerja keras, gigih berusaha, telus, amanah, teladan yang baik, berhemah, adil dan berintegriti serta bantu-membantu untuk mencapai matlamat pasukan atau organisasi. Sebagai rakan sepasukan atau rakan sekerja pula, generasi remaja perlulah menunjukkan budi pekerti yang mulia, berbahasa halus dan bertimbang rasa untuk bersama menjalankan kerja yang bermutu, membina kesatuan organisasi dan juga mencapai matlamat, visi dan misi pasukan atau organisasi.

Sesungguhnya, masyarakat yang maju tanpa amalan nilai-nilai moral, khususnya budi bahasa dapat diibaratkan seperti seorang manusia tanpa roh. Pembangunan dan kemajuan fizikal setinggi manapun tidak bermakna tanpa budi bahasa atau budi pekerti terpuji dalam kalangan anggota masyarakatnya, lebih-lebih lagi golongan remaja yang bakal menjadi tonggak harapan bangsa dan negara kelak. Sebenarnya, penekanan dan penerapan budi bahasa dan kesantunan bahasa akan membantu mendidik anak-anak remaja cara-cara untuk berinteraksi dengan orang dewasa dan sesama mereka sendiri. Dengan ini, secara beransur-ansur generasi remaja akan tahu berbudi bahasa terhadap ibu bapa, guru, dan orang yang lebih tua. Amalan murni ini juga merupakan sebahagian daripada hidup bermasyarakat dan diharap dapat dipupuk dan disemaikan dalam jiwa sanubari anak-anak remaja agar dapat berkekalan selagi hayat dikandung badan. Kita tidak mahu situasi yang menggambarkan generasi remaja jahil untuk menghormati golongan tua wujud, sebagaimana sering kita temui dalam kehidupan moden dewasa ini. Tidak ada gunanya jika masyarakat Malaysia kaya akan dunia kebendaan tetapi muflis akan nilai keperibadian dan budi pekerti mulia. Sesungguhnya, keluhuran budi pekerti mulia dirilah yang menjadi kayu pengukur kejayaan dan kecemerlangan seseorang. Tiada gunanya seseorang itu memiliki ijazah berjela-jela dan harta kekayaan yang bertimbun-timbun sekiranya dia sentiasa dibayangi perasaan sombong, kurang ajar dan meniti keruntuhan akhlak yang menyayatkan hati di penghujung kehidupannya yang terasing, bercelaru dan vakum.

Kalau ribut runduklah padi,
Padi cupak Datuk Temenggung;
Kalau hidup tidak berbudi,
Duduk tegak berdiri condong.

Tingkap papan kayu bersegi,
Sampan sakat di Pulau Angsa;
Indah tampan kerana budi,
Tinggi bangsa kerana bahasa.

Justeru, generasi remaja perlulah senantiasa hidup berbudi bahasa. Budi bahasa ialah asas kehidupan yang bermaruah dan bertamadun ke arah melahirkan modal insan yang berilmu, berakhlak dan berketrampilan sekali gus merealisasikan negara bangsa yang cemerlang, gemilang dan terbilang di persada antarabangsa!

Chai Loon Guan,35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan.
(Dewan Siswa - Februari 2008)

BUDI BAHASA BUDAYA KITA

Ibu bapa dan kaum keluarga
Saudara terdekat jiran tetangga
Sayang-menyayangi bertegur sapa
Ketulusan ikatan sepanjang usia

Para guru rakan sekolah
Turut warnai kehidupan kita
Ilmu ditimba pengalaman bertambah
Pergaulan sihat peribadi ceria

Bangsa Malaysia berhemah tinggi
Ramah dan mesra elok pekerti
Yang tiada dibantu, yang lemah dilindungi
Bertimbang rasa hormat-menghormati

Kita berkhidmat jujur dan ikhlas
Mencurah bakti tak minta dibalas
Harapan rakyat satu amanah
Budi bahasa budaya kita.