Friday, September 3, 2010

SUMBER TENAGA ALTERNATIF : PEMANGKIN PEMBANGUNAN MASA DEPAN

SUMBER TENAGA ALTERNATIF : PEMANGKIN PEMBANGUNAN MASA DEPAN



















Karya: Encik Lim Hong Woo (2003) yang kini sedang menuntut di Sheffield UK.


Dalam langkah Malaysia ke arah mencapai Wawasan 2020, pelbagai program pembangunan semakin pesat dilaksanakan oleh pihak kerajaan hari ini. Tidak kurang juga, pelbagai pelan pembangunan negara sedang dirangka demi untuk membina infrastuktur bagi membolehkan negara mencapai status Negara Moden Kelas Pertama menjelang tahun 2020. Setiap rakyatMalaysia sebenarnya adalah agen dalam proses pembangunan ini. Setiap individu memainkan peranan tersendiri dalam menggerakkan jentera ekonomi negara, justeru secara langsung ataupun tidak langsung, menggerakkan jentera Wawasan 2020.


Untuk negara kita mencapai wawasan ini, negara memerlukan sumber dan bekalan tenaga bahan api yang stabil bagi menggerakkan semua jentera dan mekanisma pembangunannya. Kita perlu memberikan penelitian kepada implikasi akibat daripada perggantungan berlebihan negara kepada bahan api asas seperti minyak dan arang batu sebagai sumber tenaga bahan api.


Permintaan minyak dan arang batu di pasaran dunia pada hari ini berada di tahap yang tinggi. Boleh dikatakan setiap tamadun masyarakat moden dan ekonomi dunia bergantung kepada bahan api ini untuk terus bergerak. Sementara itu pula, bekalan minyak dunia pada hari ini kelihatan tidak begitu cukup untuk menampung permintaan. Fenomena ini dapat dilihat dengan jelas pada kadar lonjakan harga petroleum mentah di pasaran dunia hari ini. Minyak telah menjadi satu komoditi yang begitu penting, sehingga kuasa-kuasa besar dunia sanggup menggerakkan jentera perang mereka, menggadai nyawa berpuluhan ribu manusia hanya untuk memonopoli bekalan dan pasaran minyak.


Dapat juga diandaikan di sini bahawa untuk masa hadapan, permintaan dunia untuk bahan api ini akan terus melonjak dan akan memuncak ke satu tahap drastik apabila permintaan akan jauh melebihi kemampuan bekalan. Apabila ini berlaku, jentera-jentera industri dunia yang bergantung pada sumber bahan api ini akan terpaksa menampung kos operasi yang lebih tinggi. Akibatnya mereka akan terpaksa mengurangkan operasi mereka dan mungkin juga akhirnya akan terpaksa terus memberhentikan operasi mereka.


Untuk negara kita menghindari daripada kemelut krisis ini, kita perlulah bersikap proaktif dalam mencari sumber tenaga alternatif. Tenaga alternatif adalah bermakna tenaga yang terjana daripada sumber bukan berasaskan bahan api asli seperti petroleum ataupun arang batu. Lazimnya, tenaga alternatif adalah merupakan tenaga daripada unsur-unsur seperti, tenaga angin, tenaga hidro, tenaga solar dan juga tenaga nuklear.


Di sesetengah negara Eropah, Amerika dan Asia, tenaga alternatif ini, walaupun jumlah penjanaannya masih belum pesat diperkembangkan, telah lama menjadi sumber tenaga yang menjana sesetengah jentera masyarakat dan pembangunan industri mereka. Di Amerika Utara umpamanya, dapat dilihat struktur kipas-kipas gergasi didirikan begitu banyak di kawasan tanah tinggi yang luas terbuka agar dapat digerakkan oleh tenaga angin. Pusingan kipas ini akan menggerakan dinamo-dinamo kipas gergasi tersebut. Sumber tenaga ini adalah percuma dan bekalannya juga adalah boleh dikira tidak terhad.


Penggunaan tenaga solar (matahari) juga digunakan secara meluas di Malaysia. Mungkin tidak ramai yang mengetahui fakta ini, akan tetapi rekaan panel solar untuk alat pemanas air solar yang boleh dikira mempunyai ciri-ciri rekaan terbaik yang telah banyak diguna pakai oleh syarikat-syarikat Barat adalah hasil ciptaan sebuah syarikat tempatan Malaysia. Bagi sesetengah rumah persendirian di negara Barat, 70% daripada bekalan tenaga elektrik keperluan harian adalah elektrik yang dihasilkan daripada tenaga solar.


Semenjak dari tahun 70-an lagi Malaysia telah pun mempelopori bidang teknologi tenaga hidroelektrik. Beberapa projek hidroelektrik telah pun lama beroperasi. Projek gergasi hidroelektrik Bakun dijangka apabila beroperasi sepenuhnya kelak akan dapat menjana tenaga elektrik yang murah, bersih dan efisyen kepada seluruh negara. Negara juga akan mampu menjana sumber pendapatan kewangan baru dengan menjual tenaga elektrik lebihan kepada negara-negara jiran.


Negara matahari terbit Jepun adalah salah sebuah negara dunia yang mempunyai sistem pemantauan yang termoden di dalam prosedur pengendalian reaktor-reaktor nuklearnya. Hasil daripada penggunaan tenaga nuklear, kos elektrik adalah sangat murah danbekalannya pula sentiasa dapat memenuhi permintaan masyarakat dan industri. Hal ini bermakna bebanan kos operasi pembikinan sesuatu produk atau perkhidmatan akan dapat dikurangkan dan ini akan menaikkan taraf daya saing ekonomi bagi sesebuah negara.Hari ini negara Jepun yang serba moden telah bangkit sebagai kuasa besar ketiga ekonomi dunia.


Menjana kuasa elektrik dengan menggunakan sumber tenaga nuklear adalah sesuatu yang patut diberikan penekanan dan penelitian yang lebih mendalam dalam usaha kita untuk mengurangkan pergantungan negara kepada bahan api asas seperti minyak dan arang batu.


Dalam usaha negara ke arah Wawasan 2020, Wawasan 2057 dan seterusnya, kita tidak boleh dibebani dengan masalah yang bersangkutan dengan krisis bekalan tenaga bahan api. Oleh itu, dalam hal ini kita perlulah bersikap proaktif daripada hari ini lagi demi untuk kestabilan masa depan kita.