Friday, September 3, 2010

Tips Penulisan Karangan Galus SPM: Ayat Nafi

Tips Penulisan Karangan Galus SPM: Ayat Nafi



Ayat nafi ialah ayat transformasi yang dalamnya terdapat kata nafi. Kata nafi yang dimaksudkan ialah bukan dan tidak. Dalam bahasa harian, atau bahasa basahan, yakni bahasa yang tidak baku, kata nafi tidak disebut juga sebagai tak.

Kata nafi bukan digunakan untuk membentuk ayat nafi apabila frasa nama menjadi predikatnya. Empat ayat yang berikut ini bukan ayat nafi melainkan ayat tunggal dengan binaan konstituennya bersusunan biasa, iaitu frasa subjek mendahului frasa predikat. Perhatilah ayat-ayat contoh yang berikut ini:

1. Itu kenderaan.
2. Kenderaan itu feri.
3. Beliau Hamuni.
4. Orang muda itu pengarah.

Dalam ayat (1) hingga (4), itu, kenderaan itu, beliau, dan orang muda itu ialah subjek. Kesemuanya frasa nama belaka. Itu ialah kata ganti nama tunjuk, kenderaan kata nama am, beliau kata ganti nama diri ketiga tunggal, dan orang muda itu ialah frasa nama dengan orang sebagai inti sementara muda kata penerang yang diikuti pula oleh kata penentu itu. Kenderaan (ayat 1), feri (ayat 2), Hamuni (ayat 3), dan pengarah (ayat 4) ialah predikat. Kesemua predikat ayat-ayat tersebut terdiri daripada frasa nama belaka.

Ayat-ayat (1) – (4) dapat dijadikan ayat nafi dengan cara menyisipkan kata nafi bukan di hadapan unsur predikat. Lihatlah ayat (5) – (8) yang berikut ini:

5 . Itu / bukan kenderaan.
6. Kenderaan itu / bukan feri.
7. Beliau / bukan Hamuni.
8. Orang itu / bukan pengarah.

Kata nafi tidak pula digunakan untuk membentuk ayat nafi apabila frasa adjektif atau frasa kerja bertugas sebagi predikat ayat. Contohnya:

9. Wajahnya / tidak cantik.
10. Pelajar itu / tidak takut.
11. Murid sekolah / tidak berjalan.
12. Lim / tidak membaca puisi.

Dalam ayat (9) dan (10), kata nafi tidak mendahului kata adjektif cantik dan takut, manakala dalam ayat (10) dan (11), kata kerja berjalan dan membaca puisi didahului oleh kata nafi tidak.
Kata nafi bukan atau tidak dapat juga digunakan untuk membentuk ayat nafi apabila frasa sendi menjadi predikat menurut kesesuaiannya. Misalnya:

13. Ismail bukan dari Kelantan.
14. Bingkisan ini bukan untuk Wati.
15. Marang bukan di negeri Pahang.
16. Mereka tidak di sini.
17. Selina tidak di pejabat.

Harus diingat bahawa kata nafi tidak tidak boleh digunakan untuk membentuk ayat nafi apabila frasa nama menjadi predikat ayat. Hal ini dapat dilihat daripada ayat contoh yang berikut:

18. * Dia tidak polis.
(seharusnya: Dia bukan polis.)
19. *Binatang itu tidak musang.
(seharusnya: Binatang itu bukan musang.)

Kata nafi bukan pula tidak boleh digunakan untuk membentuk ayat nafi apabila frasa adjektif atau frasa kerja menjadi predikatnya. Misalnya:

20. *Peti itu bukan berat.
(seharusnya: Peti itu tidak berat.)
21. *Umi bukan makan.
(seharusnya: Umi tidak makan.)
22. * Murid itu bukan menulis karangan.
(seharusnya: Murid itu tidak menulis karangan.)

Kata nafi bukan digunakan untuk frasa-frasa yang lain daripada frasa nama hanya jika maksudnya adalah untuk menekankan pertentangan secara lebih jelas. Contohnya:

23. Dia bukan takut, tetapi pemalu.
24. Ayah bukan makan, tetapi minum.
25. Dia bukan membantah, tetapi memberikan saranan.

Demikian huraian ringkas tentang pembentukan ayat nafi Bahasa Melayu.