Wednesday, September 1, 2010

KARANGAN CONTOH BAHAGIAN B PIAWAI SPM Siri 1

KARANGAN CONTOH BAHAGIAN B PIAWAI SPM Siri 1

PROLOG
Dipersembahkan kepada anda sekalian, contoh karangan piawai SPM untuk diteliti, dikaji dan dihayati. Semoga pelajar sekalian dapat menghasilkan karangan yang mendapat gred Cemerlang (Atas) iaitu antara 90-100.

SOALAN
Kesedaran sivik merupakan satu aspek yang penting dalam kehidupan, lebih-lebih lagi kepada sebuah negara yang sedang membangun seperti Malaysia. Malangnya, sikap ini semakin luntur dalam kalangan masyarakat.
Huraikan punca-punca wujudnya keadaan ini dan langkah-langkah yang diambil untuk menyuburkan kesedaran sivik.


KARANGAN
Kesedaran sivik boleh ditakrifkan sebagai rasa sedar yang mendalam dan berterusan serta muncul dari hati seseorang atas dasar tanggungjawab untuk memelihara hak dan kepentingan awam. Kesedaran sivik akan menjadikan seseorang individu itu warganegara yang ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk mempertahankan kepentingan awam untuk dikongsi bersama. Hari ini, kita begitu megah mengatakan bahawa negara kita telah maju dan pesat membangun seiring dengan era globalisasi namun, tanpa kita sedari kesedaran sivik dalam kalangan rakyat Malaysia begitu rendah malah semakin luntur ditelan arus pemodenan. Hal ini terbukti apabila masih terdapat dalam kalangan masyarakat kita, individu-individu yang masih tidak menghormati satu sama lain. Kata-kata, “Yang muda disayangi, yang tua dihormati,” tidak dapat kita lihat daripada perlakuan mereka. Apabila berada di dalam pengangkutan awam seperti bas, monorel mahupun kereta api, masih banyak lelaki yang sasa dan bergaya, tidak sanggup untuk memberi tempat duduk kepada wanita tua atau ibu mengandung yang tidak berdaya. Di perhentian-perhentian bas pula, sampah-sarap yang mengotorkan dan menyakitkan mata memandang juga bukan perkara asing di mana-mana tempat di negara kita. Di manakah silapnya sehingga pada zaman negara mengorak langkah ke arah menjadi negara maju pun, fenomena negatif yang memperlihatkan kerendahan kesedaran sivik masyarakat kita masih berleluasa dan dapat kita lihat di mana-mana? Pada pendapat saya, kita harus meneliti dan mendalami permasalahan ini agar langkah yang ampuh dan berkesan dapat dilaksanakan bagi menyuburkan kesedaran sivik ini dalam kalangan masyarakat kita.

Pepatah ada mengatakan bahawa anak-anak adalah ibarat kain putih; ibu bapalah yang yang akan mencorakkan kehidupan dan peribadi mereka yang sebenarnya. Pepatah ini menggambarkan betapa pentingnya peranan ibu bapa dalam mencorakkan peribadi yang positif dalam diri anak-anak mereka. Malahan, rumah adalah ibarat syurga kepada setiap anak yang lahir ke dunia ini. Dari rumah, mereka mengenal erti kasih sayang, perasaan saling memahami serta saling menghormati. Namun, hakikat yang amat pahit untuk diterima adalah terdapat banyak daripada kalangan masyarakat kita kini yang menjadikan rumah sebagai neraka buat anak-anak mereka. Kajian Jabatan Kebajikan Masyarakat mendapati bahawa kadar perceraian dan rumah tangga bermasalah semakin hari semakin meningkat terutama di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, George Town dan Johor Baharu. Perceraian memperlihatkan masalah rumah tangga antara suami isteri yang berpunca daripada permusuhan, perkelahian dan kecurangan antara suami isteri. Siapakah saksi kepada semua permasalahan ini? Sudah pastilah insan-insan lain dalam institusi rumah tangga itu, iaitu anak-anak. Tanpa disedari oleh ibu bapa, mereka telah memusnahkan keceriaan rumah tangga dan alam remaja anak-anak mereka menyebabkan anak-anak turut berendam air mata. Menyaksikan ibu bapa ‘seperti anjing dengan kucing’, akan mempengaruhi pertumbuhan jiwa anak-anak terutama remaja yang sedang meningkat dewasa. Perasaan marah kepada ibu bapa ini akan mewujudkan luka jiwa yang amat dalam kepada anak-anak. Maka, akan terdapat antara mereka yang melepaskan kemarahan itu di luar rumah, iaitu dengan menconteng atau melakarkan ‘graffiti’ di tempat-tempat menunggu bas atau merosakkan harta benda awam seperti tandas dan telefon awam. Malahan, terdapat juga dalam kalangan mereka yang bertindak seperti ‘marahkan pijat, kelambu dibakar’ iaitu melepaskan kemarahan dan dendam mereka kepada orang lain seperti guru-guru dan rakan-rakan dengan menunjukkan sikap biadab dan mengeluarkan kata-kata yang tidak sopan. Segala perlakuan ini dapat kita lihat dalam kehidupan kita sehari-hari menjadi bukti rendahnya kesedaran sivik di kalangan masyarakat terutama golongan remaja. Malahan, kajian polis mendapati bahawa lapan puluh peratus daripada remaja yang ditangkap atas pelbagai kesalahan jenayah merupakan mereka yang datang dari keluarga yang bermasalah. Justeru tidak keterlaluan jika kita menyatakan bahawa salah satu punca kurangnya kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat adalah berpunca daripada kelonggaran dalam institusi rumah tangga itu sendiri sehingga menyebabkan jiwa anak-anak menjadi tidak subur atau terbantut. Seterusnya, perkara tersebut akan mempengaruhi perlakuan mereka.

Semangat patriotik yang rendah juga menjadi sebab lunturnya kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini. Anak-anak hari ini kurang dididik agar berbangga menjadi rakyat Malaysia. Oleh itu, perasaan sayang akan negara dan berbangga menjadi warganegara Malaysia masih amat kurang dalam kalangan masyarakat kita. Satu contoh yang jelas membuktikan pernyataan ini adalah apabila Lagu Kebangsaan, Negaraku, berkumandang di udara. Berapa ramaikah antara kita yang berhenti dan berdiri tegak secara sukarela bagi menghormati lagu tersebut? Berapa ramaikah pula antara kita yang masih mengetahui Rukun Negara dan menghayatinya? Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa jumlahnya adalah terlalu sedikit; iaitu hanya dalam kalangan warga ‘senior’ kita. Apabila tahap kesedaran dan kecintaan terhadap negara rendah, natijahnya, perasaan ‘Negara KitaTanggungjawab Kita’ juga turut kurang dalam diri setiap individu. Justeru tidak ada perasaan bersalah apabila seseorang itu merosakkan bunga di taman-taman rekreasi. Tidak ada juga perasaan dan keinginan dalam hati mereka untuk mencantikkan setiap kawasan di negara ini. Justeru, ada yang tidak berasa bersalah apabila mereka membuang sampah di tempat-tempat yang tidak sepatutnya, seperti ke dalam sungai atau di mana-mana yang difikirkan selesa untuk mereka berbuat demikian. Perkara yang jelas adalah wujudnya sikap, ‘aku, aku dan engkau, engkau’ dalam diri masyarakat kita. Oleh itu, perasaan sepunya terhadap harta benda awam, perasaan menghormati pelbagai kaum atas dasar ini ialah tempat kita dan negara ini ialah negara kita dan kitalah yang bertanggungjawab atas keharmonian, kesejahteraan serta keindahannya, tidak wujud dalam diri mereka yang terlibat. Maka, sehingga hari ini, kita masih menyaksikan perlakuan-perlakuan negatif yang memperlihatkan bahawa tahap kesedaran sivik masyarakat ternyata masih rendah.

Ketidakmampuan sistem pendidikan menerapkan nilai-nilai murni dan akhlak kepada para pelajar turut menyebabkan kesedaran sivik masih belum membanggakan dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini. Selain rumah, sekolah merupakan institusi murni yang berperanan membentuk sahsiah dan peribadi seseorang individu. Di sekolah yang terdapat pelajar daripada pelbagai bangsa dan agama, maka integrasi kaum berlaku. Melaluinya, para pelajar mempelajari adat dan budaya kaum lain. Mereka juga belajar menerima, memahami dan menghormati satu sama lain walaupun mereka dari latar belakang bangsa dan kaum yang berbeza. Namun, kenapakah kita masih menyaksikan pelajar-pelajar yang tidak menghormati satu sama lain? Mengapakah nilai-nilai murni seperti mematuhi undang-undang dan peraturan serta hormat-menghormati masih kurang dipraktikkan oleh para pelajar seluruh negara? Dalam hal ini, kita tidak menafikan kepentingan sekolah kepada kehidupan seseorang individu.Namun, keberkesanan fungsinya sebagai tempat untuk mencerna peribadi murni dalam kalangan para pelajar masih boleh dipertikaikan. Tambahan pula pada masa kini, keunggulan serta kecemerlangan sesebuah sekolah diukur dari segi pencapaian akademiknya. Jika tinggi peratus kelulusan para pelajar, maka dikatakan bahawa sekolah itu ialah sebuah sekolah yang baik. Hambatan untuk menghasilkan pelajar yang cemerlang akademik inilah yang menyebabkan guru-guru bertungkus-lumus melatih anak-anak didik mereka agar mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Waktu pengajaran dan pembelajaran juga adalah untuk mencapai matlamat yang sama ini. Natijahnya, tugas untuk mendidik sahsiah serta membentuk perkembangan emosi para pelajar semakin dikesampingkan. Malahan,terdapat sesetengah sekolah yang mengetepikan terus kegiatan kokurikulum untuk pelajar-pelajar kelas peperiksaan semata-mata untuk memberi penekanan kepada peperiksaan. Hal ini pernah diselar oleh Menteri Pelajaran yang berasa kesal terhadap tindakan sesetengah pengetua sekolah yang tidak memberi penekanan kepada bidang kokurikulum sehingga matlamat menghasilkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek tidak tercapai sepenuhnya. Jika di rumah anak-anak gagal terdidik, di sekolah juga mereka tidak menerima bimbingan yang sewajarnya, maka tidak hairanlah jika kita masih melihat ketempangan peribadi anak-anak muda kita yang masih rendah kesedaran siviknya.

Pada era globalisasi ini, negara kita begitu ghairah untuk mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Gagasan idea mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir bin Mohamed ini telah menjana pembangunan yang amat pesat dalam pelbagai bidang di negara kita, terutama bidang telekomunikasi dan perindustrian. Sememangnya, idea tersebut merupakan impian murni setiap warganegara kerana pembangunan dan kemajuan akan menjanjikan peningkatan taraf hidup masyarakat kita. Namun,kita terpaksa membayar harga yang mahal untuk segala yang dinikmati itu. Keghairahan mengejar kebendaan telah mewujudkan golongan masyarakat yang individualistik dan materialistik. Kemajuan serta pembangunan pesat juga telah meragut semangat kejiranan dan kemesraan dalam masyarakat. Sikap ‘siapa lu siapa gua’ semakin berleluasa. Hidup bak ‘enau dalam belukar, hanya melepaskan pucuk masing-masing’ sudah menjadi kelaziman dalam masyarakat. Natijahnya, kepentingan terhadap kebendaan ini menyebabkan seseorang bertindak tanpa mementingkan perasaan dan kebajikan orang lain. Dengan alasan tidak mahu menjaga tepi kain orang lain, masyarakat, terutamanya yang di bandar-bandar besar hanya sibuk dengan kerjaya dan urusan masing-masing. Kegiatan gotong-royong yang diadakan hanya akan disertai jika terdapat orang-orang besar yang merasmikannya. Jika tidak, amalan bergotong-royong itu tidak akan mendapat sambutan. Oleh yang demikian, kita menyaksikan masyarakat di bandar-bandar besar mengadakan majlis kenduri dan perkahwinan di hotel-hotel. Dengan berbuat demikian, mereka sebenarnya telah membunuh semangat kerjasama yang mewujudkan silaturrahim serta keharmonian dalam masyarakat. Peluang untuk saing mengenal dan bertegur sapa antara jiran juga tidak dapat dipraktikkan. Jadi, tidak hairanlah jika dikatakan kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat kita semakin berkurang. Malahan lebih malang daripada itu, sikap mementingkan diri juga turut menimbulkan masalah lain. Sebagai contoh, apabila berlaku sesuatu kemalangan, terdapat individu yang terus memandu tanpa menghiraukan mangsa kemalangan yang memerlukan bantuan. Hal ini bermakna, di samping menghapuskan kesedaran sivik, sikap individualistik ini yang diakibatkan oleh pembangunan ini juga telah turut membunuh rasa kemanusiaan di kalangan sesetengah daripada kita.

Sejajar dengan perkembangan teknologi telekomunikasi dan alam siber. internet, media massa seperti televisyen dan sebagainya telah mendominasi kehidupan sebahagian besar daripada masyarakat. Sasaran pembangunan ini juga tidak mengecualikan golongan kanak-kanak dan remaja. Kita tidak bimbang jika perkembangan tersebut adalah sesuatu yang positif. Malangnya, filem-filem yang ditayangkan di televisyen begitu dikuasai oleh filem-filem luar terutamanya filem-filem dari Barat. Bersama-sama filem tersebut ialah nilai-nilai kehidupan masyarakat Barat yang amat bertentangan dengan budaya dan amalan kita masyarakat Timur. Kebanyakan rancangan dari Barat ini memaparkan anak-anak yang sudah tidak lagi menghormati ibu bapa mereka. Mereka kononnya mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat dan kehendak mereka. Malahan, pada kebanyakan siri filem atau drama Barat ini ditonjolkan bahawa keluarga terutama ibu bapa yang sudah tua, tidak lagi penting buat anak-anak mereka. Bahkan, bagi anak-anak yang sudah berkeluarga, ibu bapa adalah terpisah terus daripada kehidupan mereka. Jika kita perhatikan, paparan remaja Barat di sekolah juga amat berbeza daripada para pelajar dalam sistem pendidikan kita yang begitu menekankan nilai-nilai murni dan adab antara guru dan pelajar. Di Barat, pelajar boleh meletakkan kaki di atas meja semasa guru sedang mengajar. Perkara- perkara ini disertai maklumat-maklumat negatif dari internet secara perlahan-lahan telah mempengaruhi dan menghakis nilai dan kesopanan masyarakat kita. Justeru kita melihat kepincangan akhlak dan peribadi masyarakat kita semakin hari semakin ketara. Jadi, tidak hairanlah jika kesedaran sivik seperti sikap menghormati guru dan orang yang lebih tua juga semakin hari semakin luntur dalam kalangan masyarakat kita hari ini.

Walaupun petanda-petanda kerendahan kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat semakin jelas, namun, kita tidak boleh hanya berpeluk tubuh dan membiarkan permasalahan ini semakin serius. Oleh itu, sebelum ’nasi menjadi bubur’, sebelum ’yang bengkok terus menjadi patah’, langkah-langkah untuk mengembalikan nilai murni dan kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat perlu segera dilaksanakan. Dalam hal ini, kita terpaksa meletakkan tanggungjawab penting ini kepada pihak pendidikan. Hal ini juga turut disedari oleh Menteri Pelajaran kita. Oleh sebab itu, beliau telah mengarahkan agar kurikulum semua mata pelajaran yang sedia ada dirombak semula. Jika melalui Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM), elemen nilai-nilai murni wajib diterapkan dalam setiap mata pelajaran, maka dalam kurikulum baru yang disemak semula, perkara ini ditambah pula dengan meletakkan elemen semangat patriotik sebagai sesuatu yang wajib diterapkan dalam pengajaran. Selain itu, nilai-nilai kesusasteraan pula kini diterapkan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Melalui cerpen, novel, drama dan puisi yang diajarkan dari peringkat Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima, tema-tema yang berkenaan dengan nilai-nilai murni dan semangat cinta akan negara telah diterapkan. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed pernah menyatakan bahawa kita perlu mencontohi sikap masyarakat Jepun. Walaupun negara mereka semakin maju, namun, masyarakatnya masih mengekalkan nilai-nilai murni di samping mengamalkan budaya dan adat resam bangsa mereka. Malahan di negara-negara Jepun dan Korea ini, yang merupakan dua buah negara gergasi perindustrian ini, institusi pendidikan begitu dihormati oleh ibu bapa kerana mereka menyedari bahawa daripada sekolah, anak-anak mereka dididik dan diasuh untuk menjadi insan yang sempurna. Malahan, sistem pendidikan di kedua-dua buah negara ini amat menitikberatkan mata pelajaran kesusasteraan dan sejarah, dari peringkat rendah hingga ke peringkat pengajian tinggi. Mereka percaya bahawa dengan mengenali asal usul bangsa serta keindahan bahasa dan budaya mereka, mereka dapat melahirkan rakyat yang tinggi semangat cinta akan negaranya. Semangat inilah yang membawa negara mereka pada kemajuan kerana rakyatnya sanggup berkorban jiwa dan raga demi negara yang tercinta. Justeru dalam usaha untuk melahirkan semangat cinta akan negara serta menerapkan kesedaran sivik yang tinggi dalam diri anak-anak remaja kita, maka tidak boleh tidak, perubahan dalam sistem pendidikan perlu dilaksanakan. Dalan hal ini, guru-guru juga memerlukan orientasi baru agar turut memberi perhatian pada sahsiah dan nilai-nilai murni anak-anak didik mereka dan tidak hanya berusaha membimbing mereka mencapai kejayaan dalam bidang akademik.

Selain usaha di atas, pihak sekolah perlu juga melaksanakan aktiviti kokurikulum dengan lebih giat dan berkesan. Kita perlu sedar bahawa aktiviti kokurikulum merupakan wahana yang paling berkesan dalam membentuk sikap murni seperti bertanggungjawab, bekerjasama dan hormat-menghormati dalam diri para pelajar. Sebagai contoh, aktiviti perkhemahan yang dianjurkan oleh badan-badan beruniform seperti Pengakap dan Kadet Remaja Sekolah, akan membentuk semangat berpasukan yang tinggi dalam kalangan ahlinya. Mereka akan bersama-sama mendirikan khemah, mematuhi giliran memasak dan sebagainya , sepanjang perkhemahan diadakan. Selain itu, aktiviti kawat kaki dan latihan-latihan yang diadakan pula akan membentuk para pelajar yang mematuhi masa dan sentiasa berdisiplin. Aktiviti bergotong-royong oleh persatuan-persatuan dan kelab-kelab sama ada di sekolah, mahupun di kawasan sekitar sekolah pula akan menanamkan perasaan bertanggungjawab para pelajar terhadap alam sekitar serta sekolah mereka. Bak kata pepatah, ‘tak kenal , maka tak cinta.’ Justeru melalui program-program yang dijalankan, para pelajar akan membentuk jati diri dan sikap positif dalam diri mereka. Mereka akan lebih bersikap ‘membina’ daripada ’meruntuhkan’ atau membinasakan sesuatu. Mereka juga akan lebih bertanggungjawab terhadap segala kemudahan yang disediakan untuk kegunaan ramai. Oleh itu, melalui pelaksanaan aktiviti kokurikulum yang lebih berkesan, kita berharap agar tidak ada lagi telefon awam yang dirosakkan, atau tandas awam yang diconteng dengan kata-kata yang tidak menyenangkan mata memandang. Sebaliknya, kita akan dapat menyaksikan masyarakat yang lebih bertolak-ansur, umpamanya, mereka tidak berebut-rebut lagi ketika menaiki bas awam atau komuter. Anak-anak muda kita juga akan lebih menghormati golongan yang tua kerana tahap kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat telah meningkat.

“Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi Tiang Negara” merupakan kata-kata yang melambangkan kepentingan generasi muda terhadap pembangunan sesebuah negara. Oleh itu, kita mahu melahirkan golongan remaja yang berwibawa dan berketerampilan dalam pelbagai bidang agar mereka dapat menyumbang tenaga dan bakti kepada negara. Hal ini tidak akan tercapai jika remaja kita rendah kesedaran siviknya serta kurang jati dirinya. Justeru usaha kerajaan untuk mewajibkan remaja yang berusia lapan belas tahun menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mampu meningkatkan kesedaran sivik dalam kalangan golongan muda di negara kita ini. Latihan-latihan yang diikuti adalah bermatlamat untuk membentuk jati diri dan sikap positif dalam diri remaja. Malahan, lebih daripada itu, program tiga bulan ini akan melarikan para remaja daripada pelbagai gejala negatif seperti melepak, merambu dan melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah. Latihan-latihan yang dijalankan juga akan memberi penekanan pada kepentingan kesedaran sivik, kepentingan mencintai negara,kepentingan pembentukan modal insan serta kepentingan untuk membina kemandirian dan jati diri agar sikap positif ini akan tumbuh subur dalam diri anak-anak remaja negara kita. Apabila para remaja ini mempunyai rasa bertanggungjawab terhadap diri, bangsa dan negara, secara tidak langsung, mereka juga akan bertanggungjawab terhadap hak dan kepentingan orang lain. Hasilnya, diharapkan agar melalui program Khidmat Negara ini, negara akan dapat melahirkan masyarakat yang lebih tinggi tahap kesedaran siviknya.

“Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.” Kita mahu melahirkan masyarakat yang hidup seperti aur dengan tebing, saling menguatkan antara satu sama lain. Kita mahu melahirkan masyarakat yang kukuh semangat kejiranannya serta sentiasa bersedia untuk bekerjasama demi kebaikan bersama. Dalam hal ini, saya berpendapat agar amalan bergotong-royong yang menjadi teras konsep bekerjasama dalam masyarakat kita perlu disuburkan kembali, terutamanya di kawasan-kawasan bandar. Pada tahap awal, kita berharap agar para menteri dan Wakil Rakyat turut turun padang bersama-sama dengan rakyat dalam aktiviti gotong-royong yang diadakan. Apabila budaya gotong-royong ini telah dapat diwujudkan, masyarakat akan dengan sendirinya mengatur program-program tersebut untuk kepentingan kawasan tempat tinggal mereka. Selain itu, amalan rumah terbuka serta ziarah-menziarahi pada musim-musim perayaan juga merupakan amalan positif yang akan meningkatkan kesedaran sivik dalam masyarakat kita. Melalui aktiviti ini, sesama jiran akan salin mengenali dan beramah mesra sesama mereka. Walau bagaimanapun, kita berharap agar kejadian berebut makanan yang berlaku dalam satu majlis terbuka anjuran seorang menteri beberapa tahun lalu akan dapat diatasi pada masa-masa akan datang. Kita mahu melihat bukan sahaja keharmonian hubungan pelbagai bangsa di negara kita tergambar melalui aktiviti tersebut, malahan juga kita mahu menampilkan adab yang tinggi dalam kalangan masyarakat kita yang terkenal dengan budi bahasa dan kesantunannya. Apabila program-program ini dapat disebarluaskan di seluruh negara, sudah pasti tahap kesedaran sivik masyarakat kita juga akan dapat ditingkatkan.

“Bagaimana acuan, begitulah kuihnya.” Peribahasa tersebut membawa maksud bahawa peribadi serta perlakuan ibu bapa akan menjadi ikutan kepada anak-anak mereka. Justeru jika kita ingin melihat kesedaran sivik subur dalam masyarakat, maka ibu bapa perlu memainkan peranan perdana dalam usaha ini. “Melentur buluh biarlah dari rebungnya.” Oleh itu, sesuatu perkara itu perlu dipupuk dari kecil oleh ibu bapa agar apabila anak-anak memasuki alam persekolahan, nilai-nilai asas yang positif seperti hormat-menghormati, beradab sopan dan bertolak-ansur telah sedia wujud dalam diri anak-anak mereka. Dalam hal ini, ibu bapa perlu mendidik anak-anak agar saling menghormati antara satu sama lain. Sebagai contoh, anak-anak yang lebih muda perlu menghormati kakak atau abang mereka yang lebih tua. Anak-anak juga diajar agar menghormati harta benda milik adik-beradik mereka serta harta benda bersama. Oleh itu, amalan bergotong-royong sesama ahli keluarga perlu diterapkan dari peringkat rumah lagi. Bukan sahaja amalan ini akan memudahkan pelaksanaan sesuatu pekerjaan, malahan kemesraan keluarga juga akan dapat ditingkatkan. Kita sedia maklum bahawa pada peringkat usia muda, anak-anak sedang membina identiti mereka. Oleh sebab itu, ibu bapa akan menjadi contoh teladan yang paling hampir untuk diikuti oleh anak-anak. Dalam hal ini, ibu bapa tidak boleh bersikap seperti ‘ketam yang mengajar anaknya berjalan betul’. Oleh itu, ibu dan bapa perlu sentiasa menunjukkan bahawa mereka juga saling menghormati sesama mereka agar nilai positif ini diikuti oleh anak-anak. Ibu bapa juga perlu menegur kesilapan anak-anak agar mereka mengetahui garis panduan antara perkara yang betul dan perkara yang salah. Kebanyakan permasalahan yang berlaku dalan kalangan remaja masa kini adalah disebabkan ibu bapa begitu takut untuk memperbetul dan menegur perbuatan negatif anak-anak mereka. Jika ibu bapa dapat memainkan peranan mendidik anak-anak mereka sewajarnya, maka sudah pasti masalah remaja kekurangan kesedaran sivik ini tidak akan wujud di negara kita.

Pilihan kita yang terakhir untuk membentuk masyarakat yang mempunyai tahap kesedaran sivik yang tinggi adalah melalui tindakan tegas dan penguatkuasaan undang-undang. Jika kita tinjau ke negara jiran kita, Singapura, kita akan begitu kagum akan rakyatnya yang begitu patuh akan peraturan serta amat bertanggungjawab terhadap harta benda awam. Namun, dasar sebenar sikap tersebut adalah daripada ketegasan kerajaan Singapura ‘mendidik’ rakyatnya.Setiap mereka yang didapati melanggar peraturan awam akan terus didenda. Malahan, dalam perkara penggunaan tandas awam pun,Singapura sentiasa memastikan penggunaannya yang betul Sesiapa yang didapati tidak menarik pam air selepas menggunakan tandas akan dikenakan hukuman pada masa itu juga. Negara kita juga perlu menguatkuasakan peraturan dan undang-undang yang melibatkan rakyat yang kurang kesedaran siviknya ini. Jika Singapura mewajibkan aktiviti khidmat masyarakat kepada sesiapa yang didapati melanggar hak-hak penggunaan harta benda awam seperti telefon awam, dan pembuangan sampah-sarap, mengapakah kita tidak boleh melaksanakannya? Golongan masyarakat yang ‘berkepala batu’ dan terlalu mementingkan diri sendiri ini sememangnya perlu dikenakan tindakan tegas. Setakat ini, tindakan hanya dikenakan kepada mereka yang didapati merosakkan telefon-telefon awam. Bagaimana pula dengan mereka yang tidak dapat membezakan antara tong sampah dengan tempat menunggu bas? Golongan ini juga perlu dikenakan tindakansewajarnya. Dalam hal ini, tindakan beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) menangkap orang ramai yang mengotorkan tempat-tempat awam dan mewajibkan mereka membersihkan tempat itu semula adalah amat dipuji. Hal ini disebabkan, melalui pelaksanaan peraturan yang tegas itu, orang ramai akan sentiasa beringat-ingat semasa menggunakan segala kemudahan awam yang disediakan oleh pihak kerajaan untuk kemudahan mereka.

Kesimpulannya, walaupun masalah kurangnya kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat kita belum begitu parah, namun, kita perlu berusaha untuk membaikinya. Hal ini terutamanya dalam kalangan remaja kerana merekalah yang bakal mencorakkan hala tuju masa depan negara. Kita menginginkan agar kemajuan yang kita kecapi adalah selaras dengan pembangunan jiwa dan peribadi anak-anak bangsa kita. Justeru menyedari hakikat bahawa kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat masih rendah atau semakin luntur, semua pihak harus membuka mata dan memainkan peranan masing-masing untuk membina satu bangsa Malaysia yang berjaya dan mempunyai tahap kesedaran sivik yang tinggi. ‘Negara Kita Adalah Tanggungjawab Kita’. Oleh itu bersama-samalah kita seluruh warga negara yang tercinta ini memupuk sikap saling bekerjsama dan saling bersatu hati agar kemajuan yang diingini tercapai tanpa mengorbankan nilai dan susila bangsa dan agama kita.
(c) zma 2006

EPILOG
Untuk memperoleh markah 90 – 100 iaitu karangan yang berada pada tahap Cemerlang (Atas) ciri-ciri atau aspek-aspek berikut perlu ada atau dipenuhi .

>Takrif Karangan
>Format Karangan

>Pendahuluan Karangan 60-90 patah perkataan
>Isi Karangan -90-120 patah perkataan setiap perenggan
Isi 1 + Huraian + Contoh
Isi 2 + Huraian + Contoh

Isi 3 + Huraian + Contoh Isi 4 + Huraian + Contoh

Isi 5 + Huraian + Contoh Isi 6 + Huraian + Contoh

>Penutup Karangan 50-60 patah perkataan
>7-8 Perenggan
>Setiap perenggan isi seimbang ( 18-20 sm )

>Statistik/Data-Data Penting
>Sumber Rujukan/ Pendapat Tokoh
>Ayat dan Frasa Indah

>Kosa Kata Terkini
>Peribahasa/Cogan Kata/Kata- Kata Hikmat/Seni Kata Lagu/Puisi
>Penanda Wacana
>Ejaan dan Tanda Baca/Tatabahasa
>Kepelbagaian Jenis Ayat
>Pengolahan, Corak Penyampaian & Kematangan Fikiran
>Tulisan

>Jumlah Patah Perkataan 650 - 900 patah perkataan
>Karangan ditulis melebihi empat muka surat

PEMBENTUKAN MODAL INSAN YANG BERKUALITI

CETUSAN PENDAPAT PELAJAR MRSM TRANSKRIAN Siri 1

PEMBENTUKAN MODAL INSAN YANG BERKUALITI
oleh
Noor Seri Diyanah Binti Ab. Rahman
5C (2008)
MRSM Transkrian

Modal insan yang juga dikenali sebagai pembangunan sumber manusia merupakan antara agenda utama dalam perealisasian Rancangan Malaysia kesembilan (RMK-9) . RMK-9 yang dilancarkan oleh Perdana Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi fokus kepada unsur ini memandangkan manusia itu sendiri akan berperanan dengan begitu ketara pembangunan justeru mampu membawa Malaysia menjadi sebuah negara maju. Konsep pembangunan modal insan ini adalah proses untuk membentuk insan yang baik, kamil dan berguna, bukan sahaja kepada diri sendiri, malah kepada masyarakat, agama dan negara.
Modal insan ini berperanan dalam menentukan prestasi sesebuah organisasi atau unit. Modal insan ini juga membantu mencorakkan hala tuju negara ke arah Wawasan 2020 yang disasarkan bermula dari era mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed. Modal insan ini disifatkan seperti tiang utama yang menguatkan dan membentuk sesebuah bangunan. Jika bahan yang digunakan untuk membuat tiang itu tidak berkualiti, pasti bangunan tersebut juga akan mudah rosak atau roboh. Begitu juga bagi sesebuah organisasi dan negara. Tanpa sumber manusia atau modal insan yang berkualiti, sesebuah negara akan menjadi lemah kerana ketiadaan faktor manusia yang menjadi pencetus kepada inisiatif baru dalam sosioekonominya.

Pembentukan modal insan masa ini jelas cuba dijelmakan melalui konsep Islam Hadhari yang dibawa oleh kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Menerusi gagasan Islam Hadhari, sumber manusia ini akan melalui satu pakej pendidikan yang menyeluruh, yang turut merangkumi aspek kerohanian agar insan yang bakal dihasilkan adalah insan yang berkualiti dan dinamik. Di sinilah letaknya peranan penting institusi pendidikan terutama yang melibatkan generasi muda seperti MRSM. Modul tertentu perlu dilaksanakan oleh pihak sekolah agar para pelajar menghayati konsep hadharah dalam Islam ini. Hal ini demikian kerana daya usaha pembangunan sumber manusia adalah selaras dengan ajaran Islam. Kemakmuran dan kesejahteraan negara banyak bergantung kepada kemampuan, kemandirian dan jati diri rakyatnya. Oleh itu, jika setiap rakyat di negara ini mempunyai kualiti manusia unggul seperti beriman, bertakwa dan berakhlak mulia. pasti akan mudah dan lancarlah proses untuk mencapai kejayaan dan segala bidang kehidupan.

Penghasilan modal insan yang dinamik dan progresif memerlukan proses pengisian minda dengan ilmu pengetahuan. Modal insan yang berilmu akan menjadi rebutan organisasi atau pihak-pihak tertentu kerana merupakan aset berharga. Golongan yang berilmu bijak untuk mengurus sumber atau aset organisasi dalam bentuk yang terkawal. Jka mereka menggunakan bahan daripada sumber alam, mereka tidak akan melakukan kerosakan yang boleh memberi kesan kepada alam sekitar dan sebagainya. Jika sumber manusia berilmu itu melakukan sesuatu tugasan, maka mereka akan melakukan dengna rasa penuh tanggungjawab, amanah dan berdedikasi.Saya berharap agar rakan-rakan seperjuangan saya dan adik-adik saya yang berada di maktab ini akan memanfaatkan segala kemudahan yang disediakan oleh MARA demi kegemilangan bersama justeru membekalkan modal insan yang boleh dibanggakan. Selain itu, ibu bapa perlulah menunjukkan contoh yang baik atau menjadi suri teladan untuk mencetuskan sikap dan diri yang mempunyai ciri keperibadian yang mulia.

Saya merumuskan bahawa agenda pembangunan modal insan ini perlu diutamakan dalam proses pembangunan negara kita kerana menjadi pemangkin yang bakal mencorakkan tahap ketamadunan bangsa kita. Kita perlu berfikir dan bertindak secara produktif . Pendidikan merupakan faktor penting terhadap usaha ini.

MEDIA DAN PERKEMBANGAN BUDAYA

CETUSAN PENDAPAT PELAJAR MRSM TRANSKRIAN Siri 2

MEDIA DAN PERKEMBANGAN BUDAYA
oleh
Afiq Alfian bin Mohd Said
5E (2008)
MRSM Transkrian

Media merupakan satu saluran yang mampu menyampaikan maklumat secara berkesan . Jadi budaya memerlukan media untuk disebarkan kepada masyarakat.

Pada zaman tamadun purba seperti Tamadun Mesopotamia, Tamadun Mesir Purba dan Tamadun Indus, masyarakat menyebarkan budaya mereka melalui aktiviti perdagangan yang dijadikan sebagai wahana untuk mengembangkan tamadun mereka ke seantero dunia.Lantaran itu, kita dapat melihat ciri – ciri tamadun Indus seperti agama Buddha dianuti masyarakat serata dunia termasuk Malaysia. Ini menunjukkan media mampu mengembangkan sesuatu budaya itu ke tempat lain.

Begitu juga dengan kegemilangan Kerajaan Islam Abbasiyah. Mereka menjadikan karya – karya Islam sebagai media untuk mengembangkan budaya yang penuh dengan ciri–ciri keislaman . Karya-karya ini telah berjaya membentuk budaya sopan- santun, hormat –menghormati dan sebagainya sekali gus menunjukkan bahawa peranan media dalam mengembangkan budaya amat penting. Bukan itu sahaja,karya-karya ini telah mencetuskan revolusi pembentukan Zaman Renaissance di Eropah.

Semasa Zaman Kesultanan Melayu Melaka pula,terdapat banyak karya terjemahan seperti Hikayat Amir Hamzah yang telah mempengaruhi cara hidup masyarakat Melayu. Budaya tolong menolong,berbudi bahasa, budaya bekerja yang betul dan sebagainya dipupuk melalui karya – karya terjemahan ini . Hal ini menunjukkan bahawa media mampu memupuk dan mengajar masyarakat tentang sesuatu budaya.

Media juga amat penting dalam menyemarakkan semangat patriotisme bagi menentang penjajah . Semangat patriotik ini membentuk budaya cinta akan negara. Contoh media yang dilihat mampu mencetuskan budaya cinta akan negara pada zaman sebelum Perang Dunia Kedua ialah novel , majalah dan akhbar. Noli Me Tangere merupakan karya ciptaan Jose Rizal yang telah berjaya mencetuskan semangat nasionalisme bagi menentang penjajah di Filipina dan karya ini telah berjaya membentuk budaya cinta akan negara.

Bagi menanamkan budaya cinta akan negara dan menentang penjajah di Tanah Melayu,karya Pak Sako seperti Putera Gunung Tahan danAnak Mat Lela Gila telah berjaya menyedarkan rakyat tempatan untuk menentang penjajah di Tanah Melayu. Pengarang– pengarang lain seperti Harun Aminurrashid , Ahmad Bahtiar, dan sebagainya telah berjaya menanamkan budaya cinta akan negara dalam jiwa rakyat tempatan bagi menentang penjajah. Pada zaman penjajahan British di Tanah Melayu, akhbar–akhbar seperti Warta Malaya, Lembaga Malaya, Majlis dan sebagainya begitu rancak dan bersemangat dalam membangkitkan isu seperti pendidikan, ekonomi dan sosial yang berjaya menyemarakkan semangat menentang penjajah sekaligus membentuk budaya cinta akan negara.

Media massa juga dapat melambangkan identiti sesuatu bangsa.contohnya karya–karya William Shakespeare yang sangat dikenali dunia telah berjaya menonjolkan budaya Inggeris melalui karya seperti Hamlet, King Liar and Macbeth. Kita dapat mengenali budaya Inggeris dengan membaca bait–bait perkataan dalam karya tersebut. Ini menunjukkan bahawa melalui media kita dapat menonjolkan budaya sesuatu bangsa kepada dunia..

Media juga merupakan platform bagi mengajak masyarakat kini supaya mengamalkan sesuatu budaya.Kempen Budi Bahasa telah dilancarkan untuk mengajak masyarakat kini mengamalkan budaya yang bersesuaian dengan kehidupan masyarakat Melayu. Media massalah saluran yang paling tepat untuk menarik minat masyarakat mengamalkan budaya tersebut.

Namun,tidak semua benda di dunia ini sempurna. Media massa juga merupakan platform yang bisa meruntuhkan sesuatu budaya. Dengan pengaruh budaya barat yang kuat serta kelemahan jiwa masyarakat kini terutama masyarakat Melayu, pengaruh–pengaruh negatif dari barat mula meresapi jiwa masyarakat Melayu melalui media. Ini merupakan satu ironi kerana dengan media kita mampu mengembangkan budaya juga dengan media kita boleh meruntuhkan budaya. Kesan kepada budaya masyarakat cukup besar. Kini,budaya hormat-menghormati tidak lagi diamalkan .Ini jelas dapat dilihat melalui peningkatan jenayah rogol di Malaysia. Jikalau budaya hormat- menghormati diterapkan dalam jiwa remaja masa kini,maka kes–kes rogol tidak wujud kerana menurut seorang pensyarah psikologi dari Universiti Malaya, kes rogol berlaku kerana tiada sifat belas kasihan dan hormat – menghormati dalam jiwa mereka menyebabkan mereka hilang kawalan dan nafsu bermaharajalela dalam diri mereka.

Isu suami memukul isteri dan anak–anak sering dipaparkan di rubrik–rubrik akhbar.Perkara ini berlaku kerana ketika si suami dalam lingkungan remaja, beliau sering menonton rancangan –rancangan berunsur ganas tanpa pengawasan ibu bapa dan apabila mereka dewasa dan berkahwin serta berkeluarga, sifat ganas mula menguasai diri dan si isteri dan anak–anak menjadi mangsa keganasan suami.Ini jelas menunjukkan unsur keganasan yang dipaparkan oleh media mampu mempengaruhi jiwa seseorang.

Namun, melalui media juga, kerajaan cuba untuk mengembalikan keindahan budaya Melayu. Pelbagai kempen dan promosi dilancarkan melalui media massa bagi mengajak masyarakat kini supaya bersikap lebih ketimuran dan bertatasusila. Syarikat Media Prima Berhad telah melancarkan program Perkampungan Hadhari bagi menunjukkan cara hidup Islam kepada masyarakat supaya dapat cara hidup mereka yang selama ini dipengaruhi cara hidup barat.Ini menunjukkan media dapat mengembalikan budaya yang selama ini tidak diamalkan oleh masyarakat.

Bukan itu sahaja,media juga bertanggungjawab bagi memaparkan program – program yang dapat mengajak remaja kini mengamalkan budaya membaca. Ingatkah lagi pada tahun 2003 lagu nyanyian gabungan artis Malaysia bersama Tun Dr.Hasmah yang bertajuk Mari Membaca telah Berjaya menarik ramai minat pelajar untuk membaca pelbagai genre buku. Antara bait lagu tersebut iaitu “Awal suruhan ialah membaca,menuntut ilmu disuruh budaya” jelas menunjukkan kepentingan membaca dan media massa berjaya menarik ramai remaja untuk mengamalkan budaya membaca.

Media juga merupakan saluran bagi mengajar masyarakat kini tentang budaya bekerja. Sifat menepati masa,beretika dan sebagainya cuba dipaparkan melalui media supaya masyarakat dapat mengamalkan budaya bekerja secara kolektif. Jika budaya bekerja dapat diamalkan oleh masyarakat,maka produktiviti sesebuah syarikat dapat ditingkatkan dan masalah rasuah dapat dikurangkan sekali gus menunjukkan betapa pentingnya peranan media dalam memupuk sesuatu budaya kepada masyarakat.

Kesimpulannya, budaya merupakan cermin identiti bangsa dan media pula berperanan untuk memupuk dan mengembangkan budaya kepada masyarakat.Maka pembentukan bangsa yang berbudi bahasa dan bersopan santun dapat dilaksanakan sekaligus dapat mengangkat martabat bangsa di mata dunia.

PANDUAN BAHASA MELAYU SPM KERTAS 1 Siri 1

PANDUAN BAHASA MELAYU SPM KERTAS 1 Siri 1

ISU-ISU YANG PERLU DIBERI PERHATIAN UNTUK KARANGAN BAHAGIAN A DAN B
(Berdasarkan Buku Teks Bahasa Melayu Tingkatan 4 & 5 Dewan Bahasa dan Pustaka)
- Integrasi Rakyat Pelbagai Kaum Melalui Rumah Terbuka
- Kestabilan Negara Melalui Perpaduan
- Kegiatan Kejiranan Dalam Masyarakat
- Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Gaya Hidup Remaja Masa Kini
- Beberapa Strategi Untuk Mengatasi Masalah Remaja
- Aktiviti-Aktiviti Bermanfaat Untuk Mengisi Zaman Remaja
- Masalah Disiplin Pelajar
- Kebaikan Kem Remaja
- Penggunaan Sistem Pengangkutan Awam Yang Berkesan
- Sistem Pengangkutan Alaf Ini
- Peranan Teknologi Maklumat
- Peranan Internet Dalam Kehidupan Manusia
- Internet Sebagai Sumber Pendidikan
- Nilai-Nilai Murni Dan Kaitannya Dengan Kehidupan Masyarakat Malaysia
- Pengorbanan Rakyat Malaysia Demi Membangunkan Negara Semula
(terutama semasa kemelesetan ekonomi, tsunami dsb)/ Demi Kesejahteraan Bersama
- Tanggungjawab Rakyat Menjadikan Malaysia Sebuah Negara Maju
- Mesej Di Sebalik Sambutan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan
- ’Keranamu Malaysia’
- ’Negara Kita Tanggungjawab Kita’
- Pembangunan Kebendaan Perlu Disertakan Dengan Pembangunan Nilai Murni, Nilai Agama Dan Budaya Bangsa
- Penghargaan Terhadap Generasi Tua/ Warga Emas Yang Telah Memberi Panduan Kepada Kita Menjalani Kehidupan
- ’Alam Sejahtera Hidup Sempurna’
- Pemuliharaan/ Usaha-Usaha Membangunkan Kawasan Rekreasi
- Pencemaran Sungai
- Aktiviti Riadah Mencerdaskan Minda
- Kawasan Rekreasi dan Pelancongan
- Ciri-Ciri Generasi Berwawasan :
* Dinamik Dan Proaktif
* Tidak Jemu Menimba Ilmu
* Berdaya Saing
* Beriltizam
* Bersikap Inovatif
* Berkemahiran Tinggi
* Bersemangat Patriotik
- Kegigihan Asas Kejayaan Generasi Kita
- Perjuangan Generasi Lalu Menuntut Kemerdekaan
- Semangat Patriotisme
- ’Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi Tiang Negara’
- Remaja Sebagai Pelapis Generasi Akan Datang
- Kesihatan Dan Amalan Kehidupan Seharian
- Tubuh Yang Sihat Ibarat Sebutir Mutiara Yang Tidak Ternilai Harganya
- Peranan Remaja Menangani Masalah Kegemukan (Obesiti)
- Kebudayaan Tradisional Dan Jati Diri Rakyat Malaysia
- Pendidikan Maya/ E- Pendidikan
- Pemilihan Jurusan Pengajian Di Institusi Pengajian Tinggi
- Limpahan Siswazah Dan Persaingan Sengit Dalam Memburu Kerjaya
- Kejayaan Dalam Kerjaya Berdasarkan Tiga Aspek:
* Kemahiran Dalam Komunikasi
* Kemahiran Saintifik & Kuantitatif
* Kemahiran Personaliti
- Bidang Kerjaya Pada Alaf Baru
- Pertimbangan Sebelum Memilih Kerjaya
- Pemeliharaan Dan Pemuliharaan Bangunan Bersejarah Sangat Penting Untuk Generasi Akan Datang
- Kesedaran Masyarakat Dalam Memelihara Dan Memulihara Bangunan Bersejarah
- Pemuliharaan Bandar Warisan (con. Taiping)
- Pelancongan Sebagai Salah Satu Sumber Ekonomi Negara
- Masalah Dalam Memajukan Industri Pelancongan Di Malaysia
- Konsep Bandar Dalam Taman
- Pembangunan Mesra Alam Melestarikan Keindahan Alam Sekitar
- Pembangunan Negara Banyak Membuka Peluang Pekerjaan
- Kawasan Petempatan Yang Terancang Mengurangkan Pencemaran Alam
- Penjanaan Perpaduan Masyarakat Melalui Teknologi Maklumat
- Hutan Sebagai Khazanah Alam
- Ciri-Ciri Bandar Idaman Saya
- Amalan Nilai-Nilai Murni Untuk Perpaduan
- Keceriaan Sekolah/ Sekolah Dalam Taman
- Kerjaya: Antara Pilihan Sendiri Dan Kemahuan Ibu Bapa
- Pendidikan Industri Pemangkin Pembangunan Negara
- Galakan Memakan Buah-Buahan Tempatan
- Amalan Menabung
- ’Badan Sihat Otak Cerdas’
- Amalan Pemakanan: Implikasi Kepada Kesihatan
- Kempen ’Gaya Hidup Sihat’
- Kesihatan Sepanjang Hayat
- Impak Sains Dan Teknologi Dalam Pelbagai Aspek Kehidupan Termasuk Perubatan
- Kemampuan Bidang Sukan Mengharumkan Nama Negara
- Usaha-Usaha Meningkatkan Mutu Sukan Negara
- Manfaat Yang Diperoleh Daripada Penganjuran Sukan Yang Bertaraf Antarabangsa
- Kebaikan Kegiatan Kokurikulum Kepada Pelajar
- Usaha-Usaha Menggiatkan Seni Mempertahankan Diri
- Kad Pintar (Termasuk Mykad) Simbol Teknologi Tinggi Di Malaysia
- Penghayatan Dan Pewarisan Budaya Tradisional Dalam Kalangan Remaja
- Keupayaan Budaya Tradisional Membentuk Jati Diri Warganegara Malaysia
- Erti Persahabatan
- Pembelajaran Secara Kolaboratif
- ’Membaca Jambatan Ilmu’

PANDUAN BAHASA MELAYU SPM KERTAS 1 Siri 2

PANDUAN BAHASA MELAYU SPM KERTAS 1 Siri 2

POIN-POIN RINGKAS UNTUK PENULISAN KARANGAN BAHAGIAN A & B

Saya paparkan beberapa poin ringkas yang dicatat hasil pembacaan melalui akhbar dan majalah. Poin-poin yang tercatat ini boleh anda jadikan panduan untuk menghasilkan karangan Bahagian A Peringkat Cemerlang (26-30 markah ) dan Bahagian B Peringkat Cemerlang (80-100 markah)
Anda boleh menghasilkan poin-poin ringkas anda sendiri berdasarkan isu-isu yang terdapat dalam buku teks Bahasa Melayu Tingkatan 4 & 5.
Bahan ini pernah saya keluarkan dalam laman Scribbd -http://www.scribbd.com/

1. KEPENTINGAN NILAI MURNI
§ Masyarakat yang berperibadi mulia dan berdisiplin dapat memberi sumbangan yang lebih bermakna dalam usaha memajukan negara agar mencapai kemakmuran dan kemajuan yang pesat
§ Individu dan masyarakat yang mempunyai nilai murni akan mempunyai budi pekerti yang mulia dan akan dihormati oleh orang lain.
§ Pelbagai gejala sosial yang kurang baik dapat dibanteras dan masyarakat hidup dalam keadaan aman dan harmonis.
§ Imej negara di kaca mata dunia akan tinggi dan rakyat negara ini dikagumi oleh pelancong asing/ masyarakat dunia.
§ Individu yang mempunyai nilai murni akan dapat membuat pertimbangan secara rasional dalam menyelesaikan masalah

2. USAHA MEMAJUKAN INDUSTRI BUAH-BUAHAN TEMPATAN
§ Memperkenalkan teknik penanaman moden dan teknologi yang baru dalam industri buah-buahan.
§ Menggiatkan kempen menggalakkan masyarakat makan buah-buahan tempatan.
§ Mempelbagai dan memperluas pasaran buah-buahan tempatan di luar negara.
§ Memperluas kawasan penanaman buah-buahan tempatan sebagai tanaman keempat terpenting selepas getah, kelapa sawit dan koko.
§ Memperkenalkan skim galakan dan memberi khidmat nasihat kepada pengusaha yang mengusahakan penanaman buah-buahan tempatan .


3. KEBAIKAN DAN KEBURUKAN PERTANIAN TRADISIONAL
Kebaikan
§ Mengekalkan tradisi bergotong-royong yang diwarisi sejak turun-temurun (menanam, membersihkan sawah lading, menuai, dll).
§ Tidak memerlukan kos dan modal yang tinggi – proses penanaman dan tuaian
§ secara manual.
§ Mewujudkan suasana mesra dalam kalangan pengusaha.
§ Hasil pertanian tidak dicemari bahan kimia seperti racun serangga.
§ Menghasilkan pelbagai hasil pertanian seperti pisang, ubi kayu, ubi keledek , dll mengikut keperluan pengusahanya.
Keburukan
§ Memberi kesan negatif kepada kualiti alam sekitar (terutama pertanian pindah) kerana menyebabkan penerokaan hutan dan menyebabkan kehilangan kayu balak yang berharga.
§ Menyebabkan kawasan tanah terdedah dan penimbulkan masalah hakisan tanah.
§ Memerlukan masa yang lama untuk mengusahakan sesuatu kawasan kerana menggunakan peralatan lama/tradisional.
§ Tidak mendatangkan pendapatan yang lumayan kerana pengeluaran hasil yang terhad.
§ Mewujudkan golongan petani yang kurang kreatif dan sukar untuk menerima perubahan.

4. KEBURUKAN PEMBALAKAN YANG TIDAK TERKAWAL
§ Kawasan hutan yang menjadi khazanah negara ( tempat pelbagai spesies tumbuhan dan habitat haiwan) musnah.
§ Spesies haiwan dan tumbuhan pupus.
§ Pembalakan menyebabkan kawasan tadahan air negara terjejas.
§ Pembalakan menyebabkan masalah tanah runtuh dan banjir kilat. Cth : pembalakan di Hulu Kelang menyebabkan tanah runtuh – tragedi Highland Towers).
§ Pembalakan yang tidak terkawal menjejaskan ekonomi negara. (bekalan kayu balak terhad)
§ Pembalakan yang berleluasa menyebabkan peningkatan suhu / udara semakin panas kerana kekurangan oksigen daripada tumbuh-tumbuhan.
§ Potensi sektor pelancongan melalui hutan dan kawasan rekreasi seperti air terjun terjejas.

5. PERANAN LEBUH RAYA
§ Lebuh raya dapat memendekkan masa perjalanan. (perjalanan tidak terganggu oleh lampu isyarat)
§ Lebuh raya dapat mengurangkan kos penggunaan petrol
§ Lebuh raya menyediakan perjalanan yang selesa kepada pengguna – jalan sehala, tempat rehat dan solat serta lain-lain.
§ Lebuh raya memudahkan perjalanan dari satu destinasi ke satu destinasi – susur keluar disediakan untuk ke setiap bandar di setiap negeri).
§ Lebuh raya memperkembang ekonomi – menyingkatkan masa pengangkutan untuk pemasaran barang-barang perkilangan ke bandar-bandar utama. Cth : dari Bayan Lepas ke Kuala Lumpur.
§ Pembinaan lebuh raya juga membantu mengatasi masalah kesesakan lalu lintas
§ Potensi sektor pelancongan kawasan rekreasi seperti air terjun ditingkatkan dengan adanya kemudahan perhubungan.


6. TABIAT PENGGUNA DI MALAYSIA
§ Hampir 70% bahan makanan dibeli secara mendadak atau tanpa sebarang perancangan.
§ Hampir 60% membeli-belah di sebuah pasar raya sahaja, 30% lebih daripada dua pasar raya dan bakinya mempunyai fikiran terbuka tentang kekerapan untuk ke kedai.
§ Hampir 40% pengguna membeli-belah hanya sekali seminggu, 20% dua kali seminggu, dan bakinya paling kurang, tiga kali seminggu mereka membeli-belah.
§ Hampir 95% pengguna Malaysia terlibat dalam belian mendesak. Kurang daripada 20% pengguna menggunakan dan menyediakan senarai belian sebelum membeli.
§ Terdapat perkembangan pengguna suka mengunjungi gedung membeli-belah daripada kedai runcit.
§ Pengguna selalunya berbelanja dalam minggu pertama selepas menerima gaji.
§ Pengguna biasanya membayar bil-bil yang diterima terlebih dahulu sebelum pergi membeli-belah.
§ Pengguna yang mempunyai kad kredit didapati berbelanja tiga kali ganda lebih banyak daripada mereka yang tidak memilikinya.
§ Pengguna lebih cenderung membeli melalui bayaran mudah atau ansuran daripada tunai. Dan, mereka jarang mempertimbangkan kos membeli dengan cara seperti ini.
§ Tidak ramai pengguna yang membaca label barangan yang hendak dibeli terlebih dahulu sebelum membelinya

7. POTENSI MALAYSIA SEBAGAI DESTINASI PELANCONGAN
§ Tumbuhan semula jadi yang menghijau dan menyamankan.
§ Kemudahan-kemudahan asas yang mencukupi seperti hotel bertaraf lima bintang padang golf, pusat membeli-belah dan penukar wang asing.
§ Ketersampaian iaitu kawasan pelancongan dihubungi dengan jalan raya, keretapi, jalan laut,, lapangan terbang dan pelabuhan
§ Sikap rakyat yang peramah dan masyarakat majmuk menarik pelancong.
§ Peranan agensi seperti Tourism Malaysia/ Perbadanan Kemajuan Pelancongan Negeri
§ Peranan kerajaan seperti memperkenalkan iinsentif cukai dan mengadakan persidangan antarabangsa
§ Kerjasama serantau seperti Tahun Melawat ASEAN
§ Tahun Melawat Malaysia 2007 / Zoom Malaysia
§ Kedudukan yang strategik dilaluan perdagangan timur-barat
§ Modal mencukupi untuk membina hotel, chalet oleh pelabur tempatan dan pelabur asing
§ Kebudayaan tempatan yang kaya dengan seni dan pelbagai perayaan termasuk Citrawarna.
§ Harga barangan yang murah dan dikecualikan cukai untuk menarik pelancong
§ Keselamatan terjamin lantas pelancong berasa selamat.

8. CIRI-CIRI SEKOLAH YANG BERJAYA
§ Kepemimpinan pengetua dan jawatankuasa pengurusan yang dinamis dan berkesan
§ Guru dan kakitangan amanah,ikhlas, memiliki sifat kecindan dan tidak mementingkan diri sendiri.
§ Keadaan fizikal dan mental yang sihat ahli-ahli dalam komuniti sekolah
§ Kemahiran berkomunikasi oleh semua warga sekolah
§ Kebolehan pengurusan sekolah menganalisis masalah
§ Kebolehan pengurusan sekolah membuat keputusan
§ Keterampilan pemimpin pelajar
§ Pengurusan pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang sistematik
§ Pengurusan aktiviti kurikulum dan kokurikulum yang tersusun
§ Visi dan misi yang dinyatakan kepada semua warga sekolah dengan jelas
§ Keceriaan sekolah diberi keutamaan
§ Fokus ke arah pembinaan sahsiah dan peribadi pelajar

9. KEPENTINGAN SEKTOR PERTANIAN
§ Menjanjikan pulangan lumayan kepada petani
§ Menjadi wahana dalam usaha merapatkan jurang pendapatan antara penduduk desa dan bandar.
§ Mengurangkan kebergantungan Malaysia kepada negara asing untuk mendapatkan bekalan makanan
§ Meningkatkan eksport barangan makanan
§ Sebagai enjin pertumbuhan ekonomi negara
§ Menyediakan banyak peluang pekerjaan yang berkaitan dengan sektor ini
§ Meningkatkan dan meluaskan penggunaan bioteknologi
§ Menjadikan pengurusan persatuan-persatuan nelayan kawasan (PNK) dan pertubuhan peladang kawasan (PPK) ditadbir secara lebih sistematik
§ Menggalakkan petani dan penternak mempraktikkan amalan pertanian yang baik
§ Meningkatkan aplikasi teknologi moden
§ Meningkatkan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D)

10. PROGRAM LATIHAN KHIDMAT NEGARA
§ Satu program pembinaan sahsiah diri bermatlamat untuk membina dan mengukuhkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda
§ Memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional.
§ Membentuk perwatakan positif (character building) menerusi nilai-nilai murni
§ Menanam rasa percaya dan yakin kepada diri sendiri para remaja
§ Menjadikan remaja lebih memahami nilai-nilai budaya pelbagai kaum
§ Program ini bukanlah bersifat kerahan tenaga
§ Tidak mengikut mana-mana model dari luar
§ Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Akta Latihan Khidmat Negara pada 25 Jun 2003 manakala Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang ini pada 7 Julai 2003
§ Jangka masa latihan selama 3 bulan secara berkhemah dan berasrama.
§ Pelaksanaan sejak tahun 2004.
§ Dilaksanakan ala-Malaysia berteraskan tiga modul utama.
§ Modul Fizikal ialah sebuah modul yang dilaksanakan untuk membina kemahiran dan ketahanan mental, emosi, spiritual dan fizikal bagi menjadikan peserta Program Latihan Khidmat Negara sebagai warganegara yang berkesan
§ Latihan-latihan yang dilalui dapat mengeratkan perpaduan dalam kalangan peserta, mempertingkatkan ketabahan mental bagi tujuan hidup (survival), daya kepimpinan, disiplin dalaman, keyakinan diri, kemahiran bekerja sebagai ahli satu pasukan, kemahiran menyelesai masalah, membuat keputusan secara individu dan dalam kumpulan
§ Modul Kenegaraan ialah sebuah modul yang diaplikasikan untuk memperluas pengetahuan tentang kenegaraan (nation-building) dan meningkatkan perasaan cinta serta pengorbanan para peserta program terhadap negara
§ Modul Pembinaan Karektor ialah sebuah modul yang dilaksanakan untuk membina karektor yang berkesan bagi para peserta yang merangkumi diri, keluarga, komuniti dan negara
.


11. PEMBANGUNAN MESRA ALAM
§ Pembangunan yang seimbang antara pelaksanaan teknologi pembinaan dan alam semula jadi yang membolehkan kesesuaian habitat-habitat lain untuk hidup. (pengekalan ekosistem)
§ Mengekalkan kualiti air mengikut piawaian yang ditetapkan
§ Mengawal selia semua pembangunan yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan swasta
§ Pelan kerja tanah dan saliran, serta pelan bangunan dengan mempraktikkan MSMA (Manual Saliran Mesra Alam) yang diluluskan dan dilaksanakan oleh kerajaan- kerajaan negeri mulai 1 April 2001.
§ Melaksanakan kerja-kerja tebatan banjir
§ Projek Penghijauan dan pengindahan sepanjang rizab sungai
§ Penyelenggaraan secara berterusan dengan membersihkan sampah sarap dan mengelakkan bahan cemaran toksid
§ Mengadakan kempen kesedaran kepada masyarakat untuk menghargai sungai.
§ Pendekatan Islam Hadhari agar kehidupan manusia menjadi harmoni dengan alam sekitar dan persekitarannya di samping berusaha untuk terus maju.
§ Menyediakan tapak perindustrian dengan kemudahan loji rawatan bahan cemar udara, air sisa industri dan sisa toksik mengikut peruntukan undang-undang.


info: 1malaysia…?

info: 1malaysia…?

8 NILAI 1MALAYSIA….

  • Budaya Kecemerlangan
  • Ketabahan
  • Rendah Hati
  • Penerimaan
  • Kesetiaan
  • Meritokrasi
  • Pendidikan
  • Integriti

esei: peranan media dalam pembangunan negara…? Oleh Cikgu Azemi Leave a Komen Kategori: Penulisan PMR dan Penulisan SPM Media memainkan peranan yang

c

Media memainkan peranan yang penting dalam proses pembangunan negara. Antara peranannya ialah:-

  • Sebagai elemen penggerak bagi mencapai matlamat dan wawasan negara.
  • Melaporkan peristiwa di dalam dan di luar negara sebagai sumber rujukan ilmu dan teladan kepada rakyat.
  • Menjadi cerminan masyarakat.
  • Menjadi ejen mendekatkan diri rakyat dengan pemimpin dan sebaliknya.
  • Menyedarkan rakyat tentang kepentingan proses pembangunan negara.
  • Menjadi ejen penyampai dasar kerajaan ke seluruh pelosok tanah air.
  • Memberikan sumbangan dan membantu menghapuskan masalah kemiskinan.
  • Memenuhi tanggungjawab sosial melalui pendedahan masalah yang dihadapi masyarakat.
  • Berperanan sebagai pendidik kepada golongan berada dan berkeupayaan membantu golongan yang tidak bernasib baik.

esei: kelebihan komik dalam pembelajaran…?

esei: kelebihan komik dalam pembelajaran…?

Komik, kartun dan kanak-kanak sememangnya tidak dapat dipisahkan. Senario ini kadang-kadang tidak boleh diterima oleh para ibu bapa. Mereka beranggapan bahawa bahan-bahan bacaan seperti ini akan menjejaskan daya perkembangan minda anak-anak mereka.

Sebenarnya jika komik, kartun dan seumpamanya diaplikasikan dengan baik, maka kesan positifnya amatlah ketara. Komik dan kartun memainkan peranan yang besar dalam menggalakkan budaya minat membaca dalam kalangan kanak-kanak seterusnya menjadi pemangkin ke arah pembentukan budaya ilmu.

Antara kelebihan komik dan kartun dalam pembelajaran ialah:-

  • Mempunyai daya tarikan yang kuat dan efektif kepada kanak-kanak kerana kandungannya memenuhi cita rasa mereka.
  • Grafik dan seni lukis yang cantik, dialog yang dimuatkan dalam setiap karakter menyeronokkan kanak-kanak untuk belajar.
  • Mampu mengajak kanak-kanak untuk bersantai dengan buku-buku pelajaran.
  • Lukisan sesuatu karakter kartun mempercepat proses penerimaan mesej atau ilmu yang mahu disampaikan.
  • Kanak-kanak lebih mudah menerima pelajaran melalui ilustrasi berbanding abjad-abjad tulisan.
  • Dapat menyampaikan mesej tersurat dan tersirat dengan lebih jelas dan mudah.
  • Dapat memupuk daya kreativiti kanak-kanak.
  • Dapat menarik minat kanak-kanak untuk belajar.
  • Memberikan hiburan dan humor kepada masyarakat pendidik dan anak-anak didik mereka.
  • Memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak.
  • Guru dapat mempelbagaikan kaedah mengajar dan menggunakan komik sebagai bahan bantu mengajar yang berkesan.

esei: kepentingan seni pertahanan diri…?

esei: kepentingan seni pertahanan diri…?

Seni pertahanan diri ialah kemahiran dan kepandaian yang dimiliki oleh seseorang dalam selok-belok ilmu mempertahankan diri daripada sebarang ancaman serta gangguan yang boleh mendatangkan bahaya kepada mangsa. Di negara kita, terdapat pelbagai jenis seni pertahanan diri seperti silat, karate, tae kwan do, kendo, kung fu, tomoi dan sebagainya.

Antara kepentingan seni pertahanan diri ialah:-

  • meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam seni pertahanan diri yang diceburi
  • mengelakkan diri remaja daripada terlibat dengan aktiviti yang negatif
  • memastikan tahap kesihatan tubuh badan yang sempurna
  • mampu menjana stamina yang lebih mantap dan daya pemikiran yang lebih cerdas
  • membolehkan kita menjalani kehidupan yang lebih sihat
  • menjadikan kita lebih berdisiplin
  • dapat membina dan seterusnya meningkatkan keyakinan diri
  • dapat melindungi diri dan keluarga daripada ancaman bahaya atau disakiti oleh orang lain
  • mengurangkan kejadian yang berunsurkan jenayah dalam masyarakat
  • mewujudkan keadaan aman dan makmur di sesebuah kawasan kejiranan
  • memupuk semangat kerjasama dan semangat perpaduan
  • menyumbangkan pendapatan sampingan kepada sesetengah orang

esei: usaha-usaha memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat…?

esei: usaha-usaha memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat…?

Isu perpaduan sering diperkatakan berulang-ulang kali dan akhir-akhir ini semakin menjadi-jadi. Namun banyak pihak yang akur dan mengakui bahawa perpaduan kaum di negara kita adalah lebih baik berbanding dengan sesetengah negara lain di dunia.

Antara usaha yang telah dan boleh dilaksanakan ialah:-

  • Kerajaan perlu sentiasa mengingatkan rakyat agar mengutamakan aspek perpaduan.
  • Rakyat pula tidak seharusnya berasa jemu dengan peringatan itu malah sentiasa proaktif.
  • Pemimpin politik yang mewakili sesuatu kaum atau etnik tidak memainkan isu-isu perkauman yang sempit demi meraih populariti.
  • Semua pihak wajib mengelakkan pergeseran walaupun hanya pergeseran kecil.
  • Kerajaan telah berusaha secara berterusan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara contoh yang mengamalkan persefahaman kaum, toleransi beragama dan konsep perpaduan nasional.
  • Peranan anggota masyarakat serta ibu bapa mendidik generasi muda agar menerima dan mengamalkan konsep perpaduan.
  • Mengurangkan atau mengecilkan jurang perbezaan yang masih terdapat antara kaum seperti jurang ekonomi, polarisasi petempatan, kerjaya dan seumpamanya.
  • Mengeratkan perhubungan dengan cara menyertai sambutan perayaan bersama-sama seperti program rumah terbuka, kunjung-mengunjungi, usaha sama dalam perniagaan dan lain-lain.
  • Menarik lebih ramai kaum Cina menyertai pasukan polis dan angkatan tentera, menjadi kakitangan kerajaan.
  • Menganjurkan aktiviti kemasyarakatan yang kerap seperti kejohanan sukan, pameran dan kesenian.
  • Menggalakkan perkahwinan campur.
  • Peranan pihak swasta dan NGO perlu dimaksimumkan.
  • Meningkatkan keupayaan dan keberkesanan pasukan keselamatan bagi menjaga ketenteraman negara daripada ancaman musuh dari luar dan dalam.
  • Kerajaan mestilah mengutamakan keadilan dalam setiap aspek.
  • Kenali segera punca dan sebab tercetusnya sesuatu pergeseran dan tindakan segera juga perlu diambil bagi menanganinya.
  • Semua golongan mestilah sentiasa memohon doa kepada Tuhan agar negara kita sentiasa kekal aman sentosa.